Bersamabung daripada bahagian 1
6. I’tidal
6. I’tidal
Rasulullah SAW bersabda :
ثم ارفع حتى تعتدل قائما
Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga berdiri tegak (Muttafaq ‘alaih)
Disunatkan semasa bangkit dari rukuk dengan mengangkat dua tangan sehingga berbetulan dua telinga seperti mana Takbiratul ihram sambil mengucap :
سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه
dan apabila berdiri tegak pula mengucap
رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ .
Bagi sembahyang subuh sunat diqunut semasa i’tidal di dalam rakaat yang kedua sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع رأسه من الركوع في صلاة الصبح في الركعة الثانية رفع يديه فيدعو بهذا الدعاء
Yang bermaksud : Berkata Abu Hurairah RA adalah Rasulullah SAW manakala mengangkat kepalanya daripada rukuk pada sembahyang subuh di rakaat yang kedua baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini :
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيْمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَاْفِنِي فِيْمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَىعَلَيْكَ ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ , تَبَارَكْتَ رَبَّناَ وَتعَالَيْتَ .
Sunat selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW diakhir Qunut dan begitu juga selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat baginda.
Sunat menadahkan tangan semasa membaca Qunut dan tidak perlu sapu muka manakala selepas Qunut.
7. Sujud dua kali tiap-tiap rakaat.
Rasulullah SAW bersabda :
ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا
Yang bermaksud : kemudian hendaklah engkau sujud sehinggalah Tama’ninah di dalam sujud (muttafaq ‘alaih)
Kesempurnaan sujud ialah dengan ditakbirkan bagi turun kepada sujud dengan tidak mengangkat dua tangannya . Dan dihantarkan kedua lutut kemudia dua tapak tangan kemudia dahi dan hidung, sebagaiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sunat dibaca :
سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى
tiga kali.
Semasa sujud hendaklah diletakan dua tapak tangan dengan berbetulan dua bahu dan menganjurkan anak-anak jari ke kiblat serta merapatkan di antara anak-anak jari.
Bagi lelaki hendaklah direnggangkan kedua-dua siku dari lambung dan perut dari kedua pehanya pada rukuk dan sujud. Bagi perempuan hendaklah dirapatkan segala yang tersebut.
Diceraikan antara dua kaki kadar sejengkal dengan menyentuh hujung anak jari ke lantai bagi lelaki, bagi perempuan hendaklah dirapatkan sedikit antara kakinya.
Wajib diberatkan kepala dengan sekira-kira jika ditaruh kapas di bawahnya nescaya kepiklan kapas itu.
8. Duduk diantara dua sujud.
Rasulullah SAW bersabda :
ثم ارفع حتى تطمئن جالسا
Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga engkau Tama’ninah di dalam duduk.
Kesempurnaan duduk di antara dua sujud ialah menakala bangkit dari sujud hendaklah mengucap Allahu Akbar beserta dengan angkat kepala dan hendaklah duduk Iftirash iaitu duduk atas tapak kaki kiri dan letakkan hujung jari kaki kanan ke lantai. Meletak dua tapak tangan ke atas kedua lutut serta mengunjurkan jari-jari ke kiblat.
Di dalam duduk antara dua sujud sunat dibaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW :
رَبِّ اغْفِرْلِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِيْ
Janganlah dipanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud kerana keduanya rukun pendek. Jikalau dipanjangkan i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama panjang dengan membaca fatihah bagi i’tidal dan Tahiyat bagi duduk antara dua sujud dengan diketahui akan haramnya maka batallah sembahyangnya.
9. Tasyahhud (Tahiyat Akhir)
Iaitu membaca Tasyahhud akhir, Tasyahhud yang dipilih oleh As-Syafie daripada hadis Ibnu Abbas RA ialah :
التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ . السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.
(Riwayat Muslim)
10. Duduk bagi Tasyahhud Akhir
Kesempurnaan duduk bagi Tasyahhud akhir ialah duduk Tawaruk iaitu duduk di atas papan punggung manakala kaki kiri dihulurkan ke sebelah kanan dan diletakkan di bawah betis kanan.
Tangan kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan mengenggamkan semua jari kecuali telunjuk hendaklah diluruskan, merapatkan ibu jari lebih ke bawah dari jari telunjuk. Dan mengangkatkan jari telunjuk dengan diluruskan ke kiblat di waktu menyebut kalimah “Illa Allah” di dalam tasyahhud.
Tapak tangan kiri diletakkan di atas lutus kiri dengan menganjurkan jari-jari ke kiblat dengan disamakan paras jari dengan lutut dan merapatkan di antara jari-jari.
11. Solawat atas Nabi Muhammad SAW di dalam tasyahhud akhir.
Para sahabat telah berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang cara selawat ke atas Rasulullah SAW. di dalam sembahyang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim -
أمرنا الله أن نصلي عليك فكيف نصلي عليك قال : قولوا اللهم صل على محمد وعلى آل محمد
Yang bermaksud : Kami diperintah oleh Allah supaya menselawatkan ke atas engkau (di dalam sembahyang) dan bagaimana cara kami menselawatkan ke atas engkau – Rasulullah SAW bersabda , katakan oleh kamu :
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد
12. Salam
Yang paling afdhal di dalam sebutan salam ialah Assamualaikum warahmatullah.
Apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kanan dengan sekira-kira pipi kanan dapat dilihat oleh orang yang di belakang di samping meniat salam kepada Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.
Dan sunat menceraikan di antara dua salam yakni yang pertama ke kanan dengan salam yang kedua ke kiri atas kadar perceraian yang pendek.
Kemudian memberi salam yang kedua iaitu Assalamualaikum warahmatullah dan apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kiri dengan sekira-kira pipi kiri dapat dilihat oleh orang yang dibelakang di samping meniatkan salam kepada para Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.
13. Tertib
Hendaklah dilakukan peraturan sembahyang sebagaiman tertib rukun tersebut, di atas.
Kecuali niat wajib disertakan di dalam Takbiratul ihram dan Takbiratul Ihram itu pula dilakukan semasa Qiam dan disertakan pembaca Fatihah semasa Qiam itu.
Begitu juga membaca tasyahhud akhir di dalam duduk bagi tasyahhud akhir dan salam juga semasa duduk di dalam tasyahhud Akhir.
Selain daripada yang tersebut adalah menurut tertib.
SUJUD SAHWI
Sujud Sahwi ialah dua sujud yang dilakukan selepas membaca tasyahhud dan sebelum salam.
Kaifiat dan cara sujud sahwi adalah sama seperti sujud-sujud lain tentang perbuatan sunat dan wajibnya dan sunat dibaca dibaca semasa sujud ialah :
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو
Di antara perkara-perkara yang menyebabkan sunat sujud sahwi ialah :
- Meninggalkan sunat Ab’adh iaitu duduk bagi tasyahhud awal, membaca tasyahhud awal, membaca selawat atas Nabi di dalam tasyahhud awal, membaca selawat atas keluarganya dalam tasyahhud akhir, membaca Qunut, berdiri bagi Qunut, membaca selawat atas Nabi dalam Qunut dan membaca selawat atas keluarganya di dalam Qunut.
- Mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja dan tidak membatalkannya dengan terlupa. Di antaranya memanjangkan rukun pendek, berkata-kata yang sedikit yang tidak melebihi enam perkataan, makan , minum yang sedikit pada ‘uruf , dan melebihi rakaat.
- Memindahkan Qauli (bacaan) dari tempatnya sama ada Qauli itu rukun , sunat Ab’adh atau sunat Hai’ah.
- Syak pada bilangan rakaat.
- Syak pada bacaan sunat Ab’adh.
Di Ambil daripada laman blog
http://aki2004.wordpress.com/2009/09/11/panduan-kesempurnaan-sembahyang/
No comments:
Post a Comment